Ketika masa depan tanaman tembakau semakin gelap, kenaf dilihat sebagai komoditi paling berpotensi hari ini.
MANFAAT kenaf selaku bahan yang kaya dengan fiber dan mampu menjadi bahan asas dalam pembuatan biokomposit menyebabkan permintaan terhadap tumbuhan yang berasal dari Afrika ini melonjak tinggi.
Melihat potensi besar itu, kenaf atau nama saintifiknya Hibiscus cannabinus L dijangka akan menjadi tanaman alternatif menggantikan tembakau tidak lama lagi.
Ini berikutan lebih 5,000 penanam tembakau di negara ini dijangka terjejas teruk apabila Kawalan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) dikuatkuasa menjelang tahun 2010.
Di bawah AFTA, akan berlaku penurunan harga dan pengurangan duti import tembakau. Kenaf ialah sejenis pokok tropika yang menghasilkan fiber menyerupai jut dan kebiasaannya digunakan untuk menghasilkan tali dan tekstil.
Kenaf boleh dituai hasilnya selepas 120 hari dan kitaran penanamannya ialah tiga kali setahun.
Pengerusi Lembaga Tembakau Negara, Datuk Mohd Zain Ismail berkata, petani yang mempelopori projek tanaman kenaf di Kelantan membuktikan bahawa tanaman tersebut efektif untuk menggantikan tembakau yang kurang kompetitif dalam industri perladangan.
Beliau berkata, Malaysia akan mengeksport 50,000 tan metrik kenaf setahun dengan nilai RM15 bilion mulai tahun depan.
"Ini akan menjadikan kenaf sebagai komoditi utama negara menjelang tahun 2010," katanya sambil menambah bahawa Korea akan menjadi negara pengimport pertama dari Malaysia yang berjumlah 50,000 tan metrik setahun.
Beliau berkata, pada peringkat pertama penanaman, sebanyak 1,000 hektar kenaf akan dilaksanakan termasuk 700 hektar di Kelantan.
Dalam RMK-9, peruntukan awal Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi bagi pembangunan kenaf menerusi Lembaga Tembakau Negara (LTN) ialah RM10 juta. Jumlah itu dinaikkan kepada RM35 juta dalam semakan separuh penggal RMK-9 baru-baru ini.
Di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), keluasan kawasan sasaran bagi kenaf ialah kira-kira 10,000 hektar. Berdasarkan pelan ECER, industri kenaf dijangka mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di kawasan pedalaman terutamanya di kawasan penanaman tembakau di Bachok, Pasir Puteh, Besut, Setiu dan Marang.
Sementara itu, Ketua Unit Kenaf Lembaga Tembakau Negara (LTN) Kelantan, Aizwan Azmi berkata, dengan harga kenaf semasa RM500 setan metrik, penanam kenaf mampu memperoleh pendapatan lumayan dengan hasil 15 tan metrik sehektar yang mampu membebaskan petani dari belenggu kemiskinan.
Katanya, hasil peningkatan projek kenaf, dua kilang memproses dibina sebagai memenuhi keperluan iaitu di Air Tawar, Pasir Puteh dan di Beris Lalang, Bachok yang melibatkan peserta projek Diraja Kelantan.
"Kilang yang memuatkan mesin bernilai RM600,000 hasil kepakaran pegawai LTN menerusi teknik inovatif berjaya memproses 10 tan metrik kenaf sehari dalam masa lapan jam bekerja.
"Hasil kenaf yang diproses di Tok Bali dan Beris Lalang ini dieksport ke Jerman dan Korea untuk keperluan pembuatan automotif, pembuatan perabot dan alat elektrik," katanya.
Menurutnya, apa yang pasti, penanam kenaf mula yakin dengan prospek tanaman tersebut dan peningkatan harga dari RM300 kepada RM500 setan metrik memberi jaminan bahawa pendapatan petani akan meningkat.
Tambahan lagi, katanya, Pelan Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang melibatkan pelaburan RM112 bilion dalam tempoh 12 tahun, yang turut menjadikan tanaman kenaf sebagai satu daripada sektor pertanian yang akan dibangunkan, dilihat mampu membantu menangani ketidakseimbangan ekonomi di wilayah berkenaan.
Sebelum Kelantan menerima kenaf secara komersial untuk menggantikan tanaman tembakau, Indonesia terlebih dahulu melakukan perubahan itu kerana menyedari potensi kenaf
0 komentar:
Posting Komentar